Friday, October 26, 2018

GHIBAH

Imam al-Ghazali rahimahullah (meninggal 510H) mengatakan ghibah itu bermaksud : ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, samada kekurangannya pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

          Ghibah boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain. Maka dengan ini, setiap perkara yang tidak disukai oleh seseorang sekiranya disebut tanpa kehadirannya, walau sekecil mana pun perkara itu, adalah dikira sebagai ghibah atau mengumpat. Oleh itu, berhati-hatilah! Dengan hanya satu kalimah atau satu isyarat sahaja kita boleh terjerumus dalam dosa mengumpat.

Dalil pengharaman ghibah



1) Al-Quran :

﴿ ولا يغتب بعضكم بعضا أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله إن الله تواب رحيم ﴾

Maksudnya : ‘..dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat : 12)

          Ayat ini merupakan satu-satunya ayat larangan ghibah secara langsung dan di dalamnya terdapat larangan yang keras apabila Allah s.w.t menyamakan ghibah dengan orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Berkata Ibn Kathir rahimahullah (meninggal 774H) mengenai tafsir ayat ini : ‘sebagaimana secara fitrahnya kamu benci memakan daging saudara kamu sendiri, maka bencilah juga ghibah itu sebagaimana yang ditetapkan secara syara”. (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir ‘an al-Hafizh Ibn Kathir; Mukhtasar Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/358, Mansurah : Dar al-Wafa’ 2005)

          Bayangkan, berapa ramai di antara kita yang menyedari hakikat perumpamaan yang telah Allah berikan di dalam al-Quran tentang orang yang mengumpat. Namun sedikit dari kita yang mengambil peringatan. Maka tinggallah al-Quran itu sebuah perhiasan dan sekadar dibaca tanpa beramal dengannya sebagaimana layaknya ia untuk menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.

No comments:

Post a Comment